PETALING JAYA – Pelakon Farid Kamil tidak membenarkan anak lelakinya, Muhammad terlibat dalam bidang seni biarpun ada pihak menawarkannya menjadi model iklan produk kanak-kanak.
Farid, 33, berkata, selain faktor Muhammad masih kecil, dia mahu anaknya itu membesar seperti mana kanak-kanak lain.
“Saya tidak akan galakkan Muhammad untuk terlibat dalam sebarang aktiviti seni kerana dia masih kecil.
“Biarlah dia menikmati zaman kanak-kanaknya dengan normal seperti kanak-kanak lain dan biarlah saya dan Diana (isteri) sahaja yang bekerja,” katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Farid berkata, sebagai bapa dia tidak mahu menentukan arah tuju masa depan anaknya sebaliknya memberi pilihan untuk Muhammad memilih jalan terbaik apabila dewasa kelak.
“Jika dia besar nanti kalau dia hendak terlibat dalam bidang seni atau pun tidak saya tetap akan sokong kerana itu adalah pilihannya.
“Tapi sementara menanti waktu itu tiba, saya mahu dia jalani kehidupan seperti biasa,” jelasnya.
Sementara itu, Farid berkata, kehadiran Muhammad yang baru berusia sembilan bulan itu banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan sebagai seorang lelaki dan bapa.
Tambah Farid, dia juga kagum dengan sifat keibuan isterinya, Diana Danielle, 23, dalam membesarkan anak mereka.
“Sukar saya gambarkan perasaan saya apabila sudah bergelar bapa kerana ia cukup indah selain mengajar saya erti kehidupan dengan lebih baik.
“Begitu juga dengan Diana, sifat keibuannya menyerlah secara semula jadi dan begitu tenang dalam menguruskan anak kami,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Farid baharu sahaja muncul dengan filem Apokalips X arahan Mamat Khalid.
Farid berkata, biarpun filem itu mengambil masa empat tahun untuk disiapkan namun sebagai pelakon dia sangat berpuas hati dengan hasil karya itu.
“Bukan mudah untuk menghasilkan filem seperti Apokalips X dan saya sebagai pelakon dan pengarah begitu kagum melihat hasilnya dan ia bukan sesuatu yang biasa daripada Mamat Khalid,” katanya.
Apokalips X turut menampilkan barisan pelakon seperti Pekin Ibrahim, Adam (AF2), Dazrin Kamaruddin, Jehan Miskin, Iqram Dinzly. – mStar Online
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment