Isu Peminat Keliru, Hanis Zalikha Masih Bertegur Sapa Dengan Hanis Suraya

Posted by Admin


Dek kerana mempunyai nama yang seakan-akan sama, segelintir peminat dunia hiburan tempatan telah terkeliru dan menganggap pengacara program ‘Raikan Cinta’, Hanis Zalikha dan pelakon ‘Love You Mr. Arrogant’, Hanez Suraya yang dilanda kontroversi baru-baru ini sebagai orang yang sama.

Bertemu Hanis di majlis pengenalan dirinya sebagai duta baru Safi Balqis pada Rabu, GUA diberitahu gadis cantik tersebut bagaimana dia secara tidak langsung turut terkena percikan kontroversi kisah percintaan Hanez.

“Lebih kurang dua atau tiga minggu lalu, waktu kisah kontroversi Hanez baru bermula, ada ahli fanclub saya menunjukkan satu tweet daripada peminat yang lebih kurang berbunyi ‘@HanisZalikha, shame on you!’. Waktu itu, ada peminat-peminat saya yang nak balas tweet tersebut, tapi saya cakap jangan sebab orang tersebut mungkin cuma tersalah nama. Nasib baik beberapa jam selepas itu, orang yang sama telah berkongsi satu lagi tweet memohon maaf secara terbuka. Benarlah orang tersebut telah terkeliru antara saya dan Hanez” kongsinya.

Menurut Hanis lagi, dia perasan selama ini, memang ada peminat yang terkeliru, malah sebelum kontroversi tersebut bermula lagi.

 “Waktu Love You Mr. Arrogant hangat ditayangkan, ada peminat yang tweet dan mempersoalkan kenapa saya berpakaian terlalu seksi dalam drama tersebut, sedangkan itu Hanez, bukannya saya. Tapi kesan kekeliruan itu hanya setakat itu sahajalah. Tidaklah sampai orang baling telur di luar”, katanya sambil ketawa.

Jelas Hanis lagi, ekoran salah faham itu, ada peminat yang mencadangkan agar dia menukar nama sahaja.

 “Takut juga apabila orang anggap sayalah artis yang disebut-sebut dalam kontroversi tersebut, lebih-lebih lagi bila menonton saya mengacarakan ‘Raikan Cinta’. Sebabnya, apabila ada orang yang tweet sebegitu, maksudnya ada juga sebahagian daripada peminat yang memikirkan benda yang sama. Sehingga ada peminat yang mencadangkan saya menukar nama gelaran kepada Zalikha. Tapi saya sangat sayang dan selesa dengan nama sekarang, jadi saya rasa tak mengapalah”.

Walaupun kesal, Hanis berharap agar kontroversi tersebut cepat berakhir dan secara tidak langsung, namanya tidak lagi akan dikaitkan dengan Hanez secara tidak sengaja. Hanis bagaimanapun menganggap isu kecil ini tidaklah mengganggu hidup dan kerjayanya secara langsung.

Malah, ia juga tidak menjejaskan hubungan baik dua orang pelakon wanita meningkat naik itu apabila mereka masih bertegur sapa apabila bertemu di majlis-majlis rasmi dan keluar bersama rakan-rakan lain.

Dalam perkembangan lain, Hanis telah diperkenalkan sebagai wajah baru Safi Balqis, selaras dengan pengenalan edisi baru produk penjagaan wajah terkenal tersebut yang digelar ‘White Trilogy’. Sebagai duta, wajah Hanis bakal muncul di iklan-iklan TV dan cetak, selain berkongsi cerita berkenaan produk tersebut di blog dan juga di laman-laman sosial yang lain.

sumber: gua.com.my

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment