PETALING JAYA – Stesen televisyen TV
AlHijrah sedang meneliti isi kandungan beberapa video yang disebarkan di
laman sosial termasuklah tuduhan kononnya ustaz selebriti Don Daniyal
yang dikatakan telah menyampaikan ceramah bersama hadis-hadis palsu.
Pegawai Perhubungan Korporat TV
AlHijrah, Irwan Abdul Rahman berkata, pihaknya juga akan mengambil kira
beberapa pandangan pihak-pihak yang berpengetahuan soal Agama Islam
sebelum memutuskan bentuk tindakan yang sepatutnya.
“Kami sedang kumpulkan beberapa
perkara dan mengkaji semula semua video dan komen yang disebarkan itu
sama ada daripada program televisyen terbitan TV Al Hijrah ataupun video
lain.
“Kami akan rujuk kepada ustaz
dan alim ulama yang lebih pakar untuk menilai video tersebut serta
menunggu penjelasan daripada Ustaz Don sendiri sebelum memutuskan
apa-apa tindakan,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini pada
Rabu.
Irwan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penyebaran video ceramah Ustaz Don di Internet ketika ini.
Ustaz selebriti itu dikatakan telah
menyampaikan ceramah dengan mengemukakan hadis-hadis palsu dan tidak
sahih sehingga menimbulkan kekeliruan dan perdebatan banyak pihak.
Malah, pelakon dan pengacara Wardina
Safiyyah melalui laman sosial Facebook miliknya turut meminta mufti dan
para ulama menilai ceramah yang disampaikan oleh ustaz tersebut untuk
kepentingan semua umat Islam.
Koleksi rakaman video ceramah berkenaan tersebar di Facebook dengan tajuk: Kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniyal.
Selain mengadakan ceramah-ceramah
peribadi, Ustaz Don juga mengendalikan rancangan agama berjudul 30 Minit
Bersama Ustaz Don siaran TV AlHijrah pada setiap Isnin Hingga Khamis,
pukul 9.30 malam.
Sementara itu, Irwan menjelaskan, segala
program yang diterbitkan oleh stesen televisyen itu terutamanya
rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don akan dinilai kandungannya sebelum
dilepaskan untuk disiarkan kepada umum.
“Pihak kami ada unit bagi mengkaji topik
yang ingin dibincangkan oleh Ustaz Don. Kandungan yang diberikan
biasanya disemak dahulu oleh pakar-pakar agama sebelum ia diluluskan
untuk siaran,” ujarnya.
Sementara itu, Ustaz Don tidak dapat
dihubungi bagi mendapatkan reaksinya kerana ketika ini beliau berada di
United Kingdom untuk menjalani penggambaran sebuah program berbentuk
keislaman. – mStar Online
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment