NEW DELHI – Komunikasi antara sebuah pesawat Jet Airways dari India dengan menara kawalan trafik udara hilang selama 30 minit ketika berada di ruang udara Jerman pada bulan lalu selepas juruterbang menanggalkan fon kepala mereka, lapor akhbar semalam.
Pesawat itu yang dalam penerbangan dari London, Britain menuju ke Mumbai dilaporkan tidak menjawab panggilan radio dari menara kawalan selama 30 minit ketika terbang di ruang udara Jerman.
Kejadian yang berlaku pada 13 Mac lalu menyebabkan pihak berkuasa Jerman membuat aduan kepada India.
“Kejadian itu mencetuskan panik di menara kawalan trafik udara Jerman kerana situasi itu menyamai tragedi yang berlaku pada pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS),” kata seorang pegawai yang dipetik akhbar Indian Express.
Pesawat MH370 yang membawa seramai 239 penumpang dan anak kapal itu dipercayai terhempas di Lautan Hindi selepas terputus hubungan dengan menara kawalan pada 8 Mac lalu.
Seorang jurucakap Jet Airways berkata, komunikasi itu terputus selepas kru pesawat Boeing 777-300ER terlupa untuk meningkatkan bunyi pembesar suara selepas membuka fon kepala mereka.
Tambah jurucakap itu lagi, dua juruterbang pesawat berkenaan digantung selama dua minggu akibat insiden berkenaan.
Pihak berkuasa penerbangan awam India juga mengarahkan satu siasatan dijalankan berhubung tindakan juruterbang tersebut. – dpa
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment