Seperti yang sudah diketahui ramai, nama pakar motivasi yang dikaitkan dengan kes mencabul penuntut di sebuah IPTA di Arau, Perlis adalah Prof Izzi Hj Ali.
Akhirnya selepas lama mendiamkan diri meskipun diasak pertanyaan termasuk di laman Facebook, Prof Izzi memberi kenyataan berkaitan hal ini.
Bagaimanapun kenyataannya bukanlah untuk membela diri tetapi menerangkan sebab mengapa dia mengunci mulut selama ini.
Tulis Prof Izzi di status Facebooknya pada hari ini (10 April) :
Setakat ni saya tidak boleh memberi kenyataan sbb ianya masih dlm siasatan.
Tindakan ini sememangnya betul kerana sebarang kenyataan tidak harus dikeluarkan bagi mana-mana kes yang sedang disiasat pihak berkuasa.
Difahamkan, kes yang hangat diperkatakan ini turut menjejaskan kerjaya Prof Izzi hinggakan beliau memohon untuk direhatkan seketika daripada tugas.
4 April lalu, seorang penuntut wanita UiTM Arau, Perlis telah membuat laporan polis mendakwa dirinya dicabul Prof Izzi yang juga merupakan pensyarahnya ketika datang ke bilik pakar motivasi tersebut pada 28 Mac untuk mengulangkaji pelajaran.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa mengadu Prof Izzi telah menyentuh kaki dan payu daranya. Dia yang terkejut dikatakan tidak menghalang perbuatan itu kerana bimbang digagalkan dalam subjek yang diambil.
Laporan polis hanya dibuat mangsa selepas dia selesai menduduki peperiksaan akhir semester.
Memandangkan empunya diri yang mendakwa dirinya dianiaya pun sudah membuat laporan, biarlah pihak bertanggung jawab menjalankan tugas mereka untuk menyiasat.
Apa yang terbaik pada masa ini, usahlah kita membuat dosa kering dengan mengulas sesuatu yang tidak kita ketahui sepenuhnya. – MYNEWSHUB
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment